Hubungi kami

Pembinaan Jambatan Bailey ganti Jambatan Sungai Liat Runtuh, siap 30 April Ini

2025-04-22 HaiPress

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) ketika melawat jambatan Sungai Liat yang runtuh akibat hakisan pada Sabtu lepas di Felda Sungai Klah

IPOH,22 April - Pembinaan Jambatan Bailey bagi menggantikan Jambatan Sungai Liat yang runtuh Sabtu lalu akan bermula esok dan dijangka boleh digunakan pada 30 April ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,kerja-kerja pembinaan jambatan sehala sepanjang 46 meter itu turut melibatkan kerja membaik pulih jalan sedia ada yang digunakan orang awam ketika ini.

Menurut beliau,buat masa ini ada jalan pilihan lain yang disediakan sepanjang 1.7 kilometer bagi penduduk setempat,namun struktur jalannya tidak sempurna.

"Kita harap ia akan dapat disiapkan seperti jangkaan kita,memandangkan jambatan itu digunakan setiap hari oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan ini," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi runtuhan di Felda Sungai Klah,di sini. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin.


Menurut beliau,jambatan baru akan dibina bagi menggantikan jambatan yang runtuh namun bergantung kepada peruntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan pusat.

Sabtu lalu,Jambatan Sungai Liat yang yang menjadi laluan utama laluan ke Hot Spring Felda Sungai Klah,Kampung Tisong,Sungkai dan Buyong Mas Sanctuary Camp Site runtuh dikatakan berpunca daripada hakisan yang dikenal pasti berlaku sehingga menjejaskan struktur jambatan tersebut.

Semalam,Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur,Tenaga,Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sebuah jambatan Bailey akan dibina bagi menggantikan sementara jambatan tersebut.

Ahmad berkata sebuah jambatan kekal dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta akan dibina di lokasi tersebut.

Sementara itu Salina berkata pihaknya berharap jambatan itu dapat disiapkan seperti dijangka,memandangkan buat masa ini penduduk di kawasan terjejas terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke pekan Sungkai.

“Bagaimanapun laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer itu perlu melalui jalan kebun sawit,selain hanya boleh dilalui atau digunakan oleh mereka yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda sahaja,” katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Permainan Mudah Alih Chengxiang    Hubungi kami SiteMap