2025-04-18 IDOPRESS
Suasana sebelum pelepasan aturgerak Hospital Medan Malaysia ke Operasi Bantuan Kemanusiaan di Myanmar yang melibatkan seramai 69 pegawai dan anggota ATM serta TUDM,di Pangkalan Udara Subang,hari ini/ BERNAMA
KUALA LUMPUR,18 April- Malaysia menghantar pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar hari ini,bagi melaksanakan Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Left Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata sebanyak 69 orang terdiri daripada 16 pegawai dan 53 anggota daripada pelbagai kepakaran antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia,elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama pasukan keselamatan.
Beliau berkata pasukan yang diketuai Kol Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad sebagai pemerintah operasi itu turut membawa keperluan peralatan merangkumi Hospital Medan Tahap Dua,kit perubatan,komunikasi,teknikal,sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua trak membabitkan muatan 18 tan.
"Perancangan melaksanakan (Hospital Medan) untuk tempoh sebulan pertama iaitu 30 hari dan selepas itu akan membuat penilaian berdasarkan pemerhatian di lapangan bagi keperluan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas upacara pelepasan aturgerak Hospital Medan Malaysia ke Operasi Bantuan Kemanusiaan di Myanmar di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini,Hospital Medan berkenaan akan beroperasi di kawasan Sagaing,Myanmar dan tidak menolak kemungkinan lokasi itu berubah berdasarkan keadaan semasa.
Dr Zulkeffeli berkata pasukan itu mengambil masa 72 jam untuk melakukan persediaan bagi mengaktifkan misi tersebut sebelum berlepas kerana mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan,bekalan air dan elektrik terhad di kawasan yang menempatkan Hospital Medan.
"Bagi faktor keselamatan,kita sudah mengambil kira perkara tersebut kerana keadaan di Myanmar ada kawasan sedang bergolak dan kerajaan Myanmar telah memastikan kawasan penempatan sudah diaturgerak itu adalah selamat," katanya.
Operasi Starlight III diaturgerak dari Pangkalan Udara Subang menggunakan dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan masing-masing berlepas pada 4.45 pagi dan 5.15 pagi.
Kedua-dua penerbangan ini dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay,Myanmar pada 7.30 pagi dan 8.00 pagi hari ini,waktu Malaysia.
Sementara itu,Dr Ahmad Farhan berkata beliau dan pasukan akan memberikan rawatan kesihatan kepada mangsa yang terjejas sejurus tiba di daerah Sagaing,Myanmar.
Beliau berkata walaupun bakal berdepan dengan kesukaran di lokasi terjejas,namun ia tidak mematahkan semangat pegawai dan anggota untuk memberikan rawatan kepada mangsa.
"Pegawai dan kesemua anggota Op Starlight III bersemangat tinggi untuk berkhidmat,sesuai dengan mandat diberikan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN," katanya.
Sebelum ini,Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa kerajaan akan menghantar pegawai perubatan ATM,dengan kapasiti pesakit hospital medan akan ditentukan melalui kerjasama bersama negara-negara ASEAN lain yang turut menubuhkan fasiliti serupa di kawasan terjejas.
Pada 5 April lepas,Mohamad Hasan turut mengadakan lawatan sehari ke Myanmar untuk menyelaraskan misi kemanusiaan susulan bencana itu.
Pada 30 Mac,Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta sebagai sumbangan awal kepada Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu.
Berdasarkan maklumat terkini oleh Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar,sejumlah 109 gegaran susulan telah direkodkan sejak kejadian gempa bumi utama bermagnitud 7.7 dan gegaran susulan bermagnitud 6.4 yang melanda kawasan tengah Myanmar pada 28 Mac lepas.
Angka korban kini meningkat melebihi 3,603 orang,dengan lebih 4,817 individu mengalami kecederaan dan 141 masih dilaporkan hilang.
Dianggarkan lebih sembilan juta penduduk terjejas teruk termasuk 2.7 juta kanak-kanak merangkumi 58 buah perbandaran di kawasan Bago Timur,Kayin,Magway,Mandalay,Nay Pyi Taw,Shan Selatan dan Sagaing.- BERNAMA