Hubungi kami

Sultan Pahang titah penambahbaikan pentadbiran, serah surat pelantikan 2 pegawai tertinggi

2025-04-10 IDOPRESS

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan suratcara pelantikan kepada Datuk Fadzilla Salleh (kanan) sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang yang baharu pada Majlis Pengurniaan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri Pahang di Istana Abdulaziz hari ini / BERNAMA

KUANTAN,9 April- Sultan Pahang,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan mengurniakan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu,Datuk Nazri Abu Bakar serta menyaksikan ikrar taat setia beliau.

Pada majlis yang sama,baginda turut berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Datuk Fadzilla Salleh sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu,menggantikan Datuk Nazri. Fadzilla juga mengangkat ikrar taat setia di hadapan baginda.

Dalam titah baginda,pelantikan ke jawatan tinggi dalam pentadbiran negeri bukan sekadar satu keistimewaan,tetapi amanah besar yang menuntut keikhlasan,dedikasi dan tanggungjawab.

“Pelantikan ini tidak harus dilihat sebagai keistimewaan semata-mata,sebaliknya satu tanggungjawab yang besar dan mulia.

"Kedudukan yang disandang adalah lambang kepercayaan bukan sahaja daripada pentadbiran negeri,malah lebih penting daripada rakyat jelata,yang menaruh harapan tinggi terhadap kewibawaan dan kebijaksanaan para pemimpin di negeri ini,” titah baginda.

Baginda turut menyeru agar seluruh jentera pentadbiran negeri memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap dan responsif.

Majlis tersebut berlangsung di Balai Mahkota,Istana Abdulaziz,Kuantan dan turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu,Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa negeri Pahang tidak akan mampu bergerak ke hadapan sekiranya masih terikat dengan sistem lapuk dan birokrasi melampau yang menjejaskan daya saing.

Baginda menitahkan agar pendekatan pentadbiran diperkemas dengan drastik,terutama dalam menangani kelewatan proses kelulusan projek dan permohonan tanah.

“Perkara ini perlu dikaji dengan serius dan ditangani segera,” titah baginda.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
©hak cipta2009-2020 Permainan Mudah Alih Chengxiang    Hubungi kami SiteMap