2025-09-18 HaiPress
APM SABAH
KOTA KINABALU,18 September- Jumlah penduduk terjejas banjir di tujuh daerah Sabah menunjukkan sedikit pengurangan dengan 3,193 orang daripada 916 keluarga masih berlindung di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.00 pagi tadi,berbanding 3,227 orang melibatkan 919 keluarga tengah malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan,daerah Membakut kekal mencatat jumlah tertinggi iaitu 985 orang melibatkan 291 keluarga,diikuti Penampang dengan 639 orang daripada 171 keluarga,Putatan (567),Papar (369),Beaufort (289) dan Sipitang (285).
Trend pemindahan menunjukkan peningkatan di Sipitang,manakala Penampang dan Membakut menurun,sementara Beaufort,Tawau,Papar dan Putatan kekal.
Secara keseluruhan,banjir kali ini menjejaskan 128 kampung.
Setakat ini,13 kematian dilaporkan akibat tanah runtuh,manakala seorang kakitangan Sabah Electricity masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di sebuah kampung di Keningau.